Sunday, May 13, 2012

MENTAUHIDKAN ALLAH DALAM IBADAH DAN DOA

A003

Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya", - sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)


Ayat berserta terjemahan di atas merupakan ayat ke 3 Surah Az-Zumar. Ayat ini memperjelaskan tentang larangan ke atas kita untuk mereka-reka ibadah dan doa, selain daripada apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT dalam Al-Quran dan sunnah yang disampaikan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.


Kita solat 5 waktu. Kita berpuasa di bulan Ramadhan. Kita membayar zakat. Kita menunaikan Haji. Kita bersedekah. Kita membaca Al-Quran. Kita berdoa bersungguh2. Dan apa sahaja ibadah yang termampu, akan kita lakukan demi mengejar syurga. Kita juga berangan2 untuk berjihad di jalan Allah, demi mengejar syahid yang dijanjikan syurga walaupun dunia masih belum kiamat. Namun kita ini akan tergolong dalam golongan mereka yang rugi, kerana segala ibadah dan doa yang kita lakukan dan lafazkan, tidak diterima Allah SWT. Mengapa Allah tidak terima segala ibadah dan doa kita?


Jawapannya MUNGKIN SEBAB KITA ADA MELAKUKAN SYIRIK

Inilah masalah paling besar yang sedang melanda umat Islam di seluruh dunia. Inilah perkara yang paling ditakuti oleh Nabi SAW. Inilah hakikat yang paling sukar kita terima. Namun inilah dia perkara sebenar yang sedang berlaku dalam masyarakat Islam. 

Ayat di atas menjelaskan betapa pentingnya mentauhidkan Allah di dalam ibadah dan doa kita. Ayat di atas juga menekankan larangan menggunakan perantara dalam doa yang kita pohonkan. Perantara di sini adalah seperti tok-tok wali, Rasul, Nabi, Malaikat atau apa saja. Bermakna kita tak boleh menyeru nama-nama mereka ini dalam doa / amalan / ibadah kita. Kita juga tidak boleh meminta mereka mendoakan kita,. Kita kena berdoa sendiri, sebab doa tak memerlukan perantara. Allah faham semua jenis bahasa. Ingatlah, jika alasan kita meminta para2 ustaz atau imam mendoakan kita sebab khuatir Allah tak terima doa kita disebabkan kita cuai dalam melaksanakan perintah dan sentiasa melanggar laranganNYA, maka kita telah bersangka buruk dengan Pencipta kita. Jika kita bersangka buruk dengan Allah, maka jatuh syiriklah kita.


KESILAPAN DALAM KENDURI DOA SELAMAT


Akan tetapi di negara kita ini, sering saja para ustaz atau imam masjid dipanggil untuk mengetuai pembacaan doa dalam kenduri doa selamat. Kenduri doa selamat ini memang menjadi kemestian kepada masyarakat kita. Nak pergi tunaikan umrah atau haji, buat kenduri doa selamat. Anak nak periksa spm, buat kenduri doa selamat. Dapat projek baru, buat kenduri doa selamat. Ikut logik akal memang tiada salahnya, sebab kenduri itu ialah menjamu orang ramai makan. Bermaksud kita bersedekah. Memang sepatutnya ia satu amalan yang mulia. 


Namun Islam adalah berkenaan kepatuhan kepada Allah. Islam bukan berkenaan logik akal. Kenduri doa selamat ini sebenarnya salah konsep. Kenduri doa selamat ini sebenarnya meminta orang ramai membuat kerja (iaitu berdoa) untuk kepentingan kita dan kemudian kita upah mereka dengan makanan, dan ada juga yang turut memberi wang saguhati kepada si pemimpin bacaan doa tersebut. Kita panggil orang makan bukan untuk bersedekah kerana Allah, sebaliknya sebagai upah mendoakan kita. Jadi di mana pahala sedekahnya? Ini adalah satu perbuatan yang sia-sia.


KEWAJIPAN MEMPELAJARI TAFSIR AL-QURAN DAN HADITH

Masyarakat kita sebenarnya berdepan isu yang jauh lebih besar daripada mempunyai kerajaan yang tidak mentaati Allah. Masyarakat kita berdepan dengan isu syirik yang sudah  menjadi sangat sebati dalam kehidupan kita. Masyarakat kita secara terang2 melakukan syirik dengan beralasankan Bida'ah. Sebenarnya bida'ah itulah syirik. Bida'ah ialah ibadah yang tiada termaktub di dalam al-Quran dan tidak juga pernah dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW. Ingat, syariat Islam sudah tamat dengan kewafatan Nabi SAW. Al-Quran sudah sempurna sebelum wafatnya Baginda. Jika kita melakukan perkara berkenaan agama Islam yang tiada di dalam Quran dan tidak pula dilakukan oleh Nabi SAW, bermakna kita sudah membuat syariat sendiri. Inilah yang dimaksudkan di dalam ayat ke 18 dalam Surah Hud seperti di bawah:-
Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah! Orang-orang yang demikian sifatnya akan dibawa mengadap Tuhan mereka, dan pada hari itu akan berkatalah saksi- saksi (dari malaikat-malaikat, Nabi-nabi, dan anggota- anggota tubuh mereka sendiri): "Inilah orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka". Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim!

Maksud mereka-reka perkara dusta terhadap Allah dalam ayat di atas adalah mengada2 kan perkara yang tidak pernah Allah sampaikan sama ada di dalam Quran atau pun Hadith. Iaitu membuat ibadah atau doa mengikut cara yang tidak pernah Allah syariatkan. Seperti kenduri tahlil orang mati, yang mana kononnya ia dilakukan untuk menghantar pahala kepada si mati sedangkan mengikut syariat Islam orang yang sudah mati ini terputus segala hubungan dengan dunia kecuali 3 perkara, iaitu:-


1. Sedekah jariah
2. Ilmu bermanfaat yang diajar
3. Doa anak yang soleh.


KENAPA KESILAPAN INI BOLEH BERLAKU?


Tiada orang yang mahu masuk neraka. Iblis dan syaitan pun tak mahu masuk neraka. Semua inginkan syurga. Cuma yang menjadi masalahnya ialah kita tidak tahu perbuatan kita yang inginkan syurga itu sebenarnya menjerat kita ke neraka. Silap haribulan kekal kita di dalamnya..Nauzubillahiminzalik.


Perkara sebegini berlaku disebabkan kita sudah terlalu jauh dengan Quran dan Hadith. Kita tidak mempelajari tafsir Quran dan hadith. Kita lebih percayakan amalan2 yang disampaikan oleh ustaz, imam atau ahli2 agama. Kita lebih percayakan amalan turun temurun yang dilakukan oleh nenek moyang kita. Kita lebih gemar memilih kitab2 yang ditulis oleh ahli2 agama. Sedangkan Rasulullah berpesan agar umatnya berpegang teguh kepada Quran dan Hadith untuk mengelakkan diri daripada terjerumus dalam kesesatan.


Kembalilah kita kepada al-Quran kerana mempelajari tafsir Quran ini WAJIB hukumnya. Renung2 kanlah maksud ayat ke 36 Surah Az-Zukhruf seperti di bawah:-
Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.


Wallahualam...

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home