Thursday, September 08, 2011

Al-Fatihah Untuk Arwah Sahabatku

Petang tu memang agak memenatkan. Aku baru selesai buat lawatan tapak di UIA Gombak bersama pemandu bekas bos aku. Kebetulan cuaca pulak panas. Jadi aku buat keputusan untuk terus lepak kat rumah sewa pemandu bekas bos aku di Taman Melati ketika menghantar dia balik sebab dia ke UIA naik kereta aku. Lagi pun dia kata dalam peti ais dia ada air tebu sejuk.

Sedang aku menikmati air tebu sejuk tu sambil menonton televisyen yang tak berastro, aku dikejutkan dengan panggilan telefon daripada salah seorang geng baik aku...

Aku terdiam selepas mendengar kata2 dia. Hati aku berdebar2 tak keruan. Muka aku panas. Aku benar2 tak tentu arah. Aku panik. Setelah menenangkan diri, aku menghubungi beberapa orang rakan2 baik aku yang lain untuk memaklumkan berita yang baru aku terima. Berita berkenaan sahabatku terlibat dalam kemalangan maut di Tangkak, Johor. Dan ibu bapa dia pula tiada di sini kerana bertugas di Bangkok. Adik dia belajar di England, sementara kakak dia pula tak dapat dihubungi. Aku terus mengambil keputusan untuk ke Tangkak waktu itu juga. Mujur ada beberapa sahabat aku yang turut ingin ke sana. Kami akan berkumpul di rumah abang besar kami di Bangi.

-------------------------------------------------------

Abang besar menghidangkan santapan yg super best..kami makan dengan penuh semangat sambil berbual kosong cuba menyembunyikan keresahan hati. Selepas kenyang, kami berlima bergerak ke Tangkak naik kereta aku dan kereta Mamat US Embassy. Dalam perjalanan ramai yang menghubungi aku bertanyakan perkembangan terkini. Aku update sekadar yg mampu sebab aku sendiri masih dalam perjalanan. Perjalanan lancar.

Kami tiba di Hospital Tangkak sekitar jam 11 malam. Nasib menyebelahi kami kerana brader penjaga rumah mayat masih belum pulang, dan dia bersetuju untuk membuka pintu rumah mayat untuk memenuhi hasrat kami yang ingin melihat sendiri mayat Arwah. Aku masih menyimpan sedikit harapan, yang bakal kami lihat nanti bukan Arwah. Manalah tahu nama je sama.

Selepas pintu dibuka, brader tu membawa kami ke peti simpanan mayat dan perlahan2 membukanya.

Aku kenal sangat wajah itu. Baju Reebok hitam dan jean biru yang tersalut ditubuhnya juga aku kenal. Memang pakaian itu sering Arwah gayakan dahulu. Memang sah tubuh yang kaku itu tubuh sahabat aku. Wajahnya tenang dan bersih. Tiada sebarang calar di wajah itu. Kami berlima diam membisu. Hampir lima minit kami terpaku sebelum seorang demi seorang melangkah keluar.

Aku terus menyalakan Dunhill sambil duduk di tepi longkang hospital. Masih terbayang saat aku berbual dengan Arwah di depan pintu Masjid di Sri Gombak sewaktu Arwah menyambut aku yang terlewat menghadiri majlis akad nikah ex-skin head yg dah jadi orang beriman dengan wajah yang ceria minggu sebelumnya. Kami sama2 menyalakan Dunhill ketika itu. Menurut Arwah, dia sudah sihat dan akan memulakan hidup baru di Nilai setelah berjaya menjawat satu jawatan di sana. Dan aku turut terbayang saat kami (aku, Arwah dan sahabat Arwah) berjalan kaki sekitar jam 3 pagi ke rumah Arwah di Taman Suria daripada Stesen Bas Larkin, JB sebaik tiba dari KL sekitar tahun 1999 dulu. Kemudian kami terkunci di dapur rumah Arwah sewaktu sedang minum, sehinggalah ibunya buka pintu dapur ketika jam hampir menunjukkan pukul 9 pagi. Kami terpaksa menahan diri daripada berurusan di tandas selama hampir 5 jam waktu itu. Aku teringat ketam masak pedas yang ibu Arwah masakkan untuk kami. Aku teringat trip kami ke Mersing untuk bercuti bersama dua lagi sahabatnya. Aku teringat saat kami gembira bermain bola di padang Seksyen 4 Shah Alam. Aku teringat motor RG Sport warna biru miliknya yang sering aku pinjam. Aku teringat haruman Polo Sport kegemarannya. Aku teringat saat kami gembira bermain Need For Speed 2 di rumahnya sehingga subuh..aku teringat teh tarik yang menjadi minuman kegemarannya..aku teringat saat dia tertidur di bilikku sehingga terlepas waktu dating..aku teringat waktu cemas kami hampir bertempur dengan geng2 cina di sebuah pusat hiburan belakang Central Market sewaktu mencari adik seorang sahabatku yang lain..semua ingatan2 itu bercampur-baur..semuanya berbalam2...dan aku tak mampu menahan air mata aku lagi...

Ya Allah!
Kau tempatkanlah sahabatku ini di kalangan orang yang beriman,
Kau permudahkanlah saat kebangkitannya nanti,
Kau permudahkanlah saat penghisaban amalannya nanti..

al-Fatihah!


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home